Kaedah Kedua – MENGULANG
Jika kaedah pertama (meniru) membawa konotasi yang negatif. Maka, kaedah kedua juga membawa konotasi yang sama. Perkataan “mengulang semester” contohnya, amat menghinakan. Orang lain tamat pengajian awal, kita masih terkial-kial, tambah semester, akibat gagal menjawab soalan. Atau mungkin tertangkap menggunakan kaedah pertama di dalam peperiksaan. Untuk mengelakkan kita mengulang semester, maka kita perlulah mengulang kembali apa yang telah kita pelajari supaya lekat di minda kita.
Sewaktu mula pandai bertatih, kita terus berlatih. Mengulang cuba berjalan tanpa jemu. Hasilnya, kita mampu berjalan tanpa dipimpin lagi. Lebih hebat lagi, kita akhirnya mampu berlari. Sekarang, kita masih mengulangi perkara yang sama. Tetap berjalan. Berulang-alik kita melangkah. Tanpa jemu.
Sewaktu di pra-sekolah, cikgu menulis huruf A di buku kita, lalu kita disuruh meniru dan mengulang tiru sampai penuh satu muka surat. Hasilnya, sekarang ini, pejam matapun kita masih mampu menulis huruf A.
Belajar matematik juga sama. Hari-hari cikgu suruh membaca sifir. Kalau matematik jadi waktu terakhir, siaplah kalau tak dapat menjawap soalan sifir, jadilah yang terakhir keluar dari kelas. Hasilnya, kalkulator tetap menjadi pilihan…. Jika malas mengulang baca sifir masa di sekolah rendah dahulu.
Ustazah juga selepas mengajar mengaji Qur’an, akan berkata “Balik rumah nanti, jangan lupa baca. Kalau nak cepat lancar, ulang tiga kali, kalau lebih, lagi baik.”
Solat juga begitu. Setiap hari kita ulang perbuatan dan bacaan yang sama. Tanpa jemu. Dengan penuh rasa rendah diri. Bila sampai taraf solat yang tinggi, makin rasa seronok pula kita ulang. Jangan pula bila dah rasa pandai bersolat, taknak solat lagi. Alasannya, aku dah pandai solat dah.
Inilah dia bukti, orang yang pandai akan terus mengulang, tanpa jemu.
No comments:
Post a Comment